Apakah Maksud Hadith Jangan Berlebih-lebihan / Melampau-lampau Memuji Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ? | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Apakah Maksud Hadith Jangan Berlebih-lebihan / Melampau-lampau Memuji Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ? -

Apakah Maksud Hadith Jangan Berlebih-lebihan / Melampau-lampau Memuji Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ?


Oleh: Panel Penyelidik Yayasan Sofa (dengan nota-nota pinggir oleh al-faqir - Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni)


Matan hadis:


عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: «لاَ تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ، وَلَكِنْ قُولُوا: عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ». [أخرجه البخاري (رقم 3261)، ومالك، والطيالسي (رقم 24)، والحميدي (رقم 27)، وأحمد (رقم 154)، والدارمي (رقم 2784)، والعدني، والترمذي فى الشمائل (رقم 331)، وأبو يعلى (رقم 153)، وابن حبان (رقم 6239)، وعبد الرزاق (رقم 20524)]


-------------------------------

“Jangan Memujiku Secara Melampau”


Oleh: Panel Penyelidik Yayasan Sofa 


Sabda Rasulullah SAW:

“Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.” 

(*lengkapnya: …Tetapi katakanlah: hamba Allah dan rasul-Nya”)



Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda SAW. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik. Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW. (*Banyak qasidah dan selawat memuji Nabi SAW seperti Dala’il al-Khairat oleh Imam al-Juzuli, Qasidah al-Burdah oleh Imam al-Busiri, Sa’adah al-Darain oleh Imam al-Nabhani, Mawlid al-Barzanji dan lain-lain telah dilabel sebagai syirik atau mengandungi unsur syirik oleh golongan Wahhabiyyah. Sedangkan amat jauh sekali alim ulama ini dari melakukan perbuatan syirik. Wal-‘Iyazu biLlah…)


Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilainya. Maksud sebenar hadith ialah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah.


Adapun, orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW adalah hamba Allah dan utusanNya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya dia tidak disyaki lagi merupakan orang yang paling sempurna tauhidnya.(*Maksud sebenar kalimah al-itra’ menurut alim ulama yang menghuraikan hadis ini ialah puji-pujian melampau yang mengandungi perkara dusta, bohong dan batil. Adapun puji-pujian yang tidak mengandungi perkara-perkara dusta dan batil, malah ianya disaksikan oleh dalil-dalil aqli dan naqli, maka ia tidak termasuk dalam makna hadis di atas. Inilah yang difahami dan dipegang oleh alim ulama berkenaan)


Inilah yang ditegaskan oleh Imam Busiri dalam Qasidah Burdahnya yang masyhur:


“Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan); Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati; Kerana keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, lalu lidah dapat mengungkapkan segala keistimewaannya dengan bahasa yang indah; Kemuncak pengetahuan mereka tentang dirinya mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu seorang manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk Allah keseluruhannya.”


Jika diperhatikan, perbuatan memuji Nabi SAW adalah sesuatu yang dilakukan oleh Allah SWT sendiri seperti firmanNya:

“Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (Al-Qalam: 4).

Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW; Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara Nabi.” (al-Hujurat: 2)


Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita.Allah SWT berfirman: “Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah SAW di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.” (al-Nur: 63) Allah mencela orang-orang yang menyamakan Rasulullah SAW dengan yang lain dalam pergaulan dan tatatertib. Allah berfirman:“Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad!), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).” (al-Hujurat: 4)


Para sahabat yang mulia sering memuji Rasulullah SAW dan Baginda SAW menunjukkan redhanya kepada perbuatan tersebut. Antara mereka ialah Hassan ibn Thabit RA yang terkenal sebagai penyair Nabi SAW. Antara madah beliau:


“Allah telah menghimpunkan nama Nabi SAW kepada namaNya, ketika muazzin melaungkan lafaz “Asyhadu” di dalam azan bagi menandakan masuk waktu solat lima waktu; Allah menerbitkan nama Baginda SAW dari namaNya. Maka pemilik ‘Arasy ialah Mahmud (Allah) dan inilah Muhammad SAW”


Ini pula Ka’ab ibn Zuhair memuji Rasulullah SAW dengan qasidahnya yang terkenal:


“Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah cahaya yang menerangi, bagaikan pedang tajam dari India, dari pedang-pedang Allah yang terhunus; Di dalam kelompok bangsa Quraisy telah berkata juru cakap mereka di tengah-tengah Makkah, setelah mereka memeluk Islam maka berhijrahlah mereka (ke Madinah); Mereka berjalan laksana pahlawan yang berani. Apabila ditentang musuh kafir Quraisy mereka tidak gentar.”


Di dalam riwayat Abu Bakar ibn al Anbari menyatakan bahawa Rasulullah SAW melemparkan selendang yang berada di tubuhnya kepadanya. Mu’awiyah hendak membayar sebanyak 10,000 kepada Ka’ab RA untuk mendapatkan selendang tersebut. Maka beliau berkata: “Tidaklah aku mendahulukan sesuatupun daripada Rasulullah SAW.” Apabila Ka’ab RA meninggal dunia, Mu’awiyah menghantar kepada warisnya sebanyak 20,000, lalu dia mengambil selendang tersebut daripada mereka.


Rasulullah SAW ada memuji dirinya sendiri dalam banyak hadith bukan bertujuan bermegah tetapi sebagai mengajar kita mengenal hakikat dirinyaAntaranya, 

Baginda SAW bersabda: “Aku adalah sebaik-baik golongan kanan (yang beruntung mendapat nikmat syurga).” “Aku adalah sebaik-baik golongan yang lebih dahulu memasuki syurga.” “Aku adalah anak Adam yang paling bertaqwa dan mulia di sisi Allah, tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (riwayat Al-Tabrani dan al-Baihaqi dalam Dala’il)

“Aku adalah manusia yang paling mulia di antara manusia-manusia yang terawal dan terakhir dan tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi) (*Nabi SAW juga memerintahkan umatnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku ini lebih dicintai olehnya lebih daripada bapanya, anaknya dan juga manusia seluruhnya” – HR al-Bukhari dan Muslim)


Di dalam hadith Abu Sa’id RA berkata: Sabda Rasulullah SAW:

“Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat; dan tidaklah aku berbangga-bangga dengannya. Di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (bendera yang dipuji); aku juga tidak bermegah-megah dengannya. Tidak ada seorang Nabi pun pada hari itu (Kiamat); baik Adam mahupun yang lain, kecuali semuanya berada di bawah naungan benderaku. Aku juga orang pertama yang dibongkarkan dari bumi dan tidaklah aku berbangga dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Hassan Sahih)


Jibril AS juga ada memuji Baginda SAW. 

Antaranya: “Aku telah membalik-balikkan timur dan barat dunia, tetapi aku tidak pernah lihat seseorang yang lebih mulia daripada Muhammad SAW, dan aku juga tidak pernah lihat keturunan yang lebih mulia daripada keturunan Bani Hasyim.” (riwayat al-Baihaqi, Abu Nu`aim dan al-Tabrani).


Kesimpulannya, memuji Nabi SAW adalah sesuatu amalan yang terpuji dan digalakkan. Ia adalah sesuatu yang tidak terpisah dengan kewajiban mengasihi Baginda SAW. Adapun larangan dalam sepotong hadith yang disebut di awal tadi, ia perlu difahami dengan tepat. Ia bukanlah larangan untuk kita memuji Nabi SAW dengan pujian yang tinggi dan agung tetapi membataskannya agar tidak melangkaui batas Khaliq dan Makhluq. (*Setengah golongan yang membataskan definisi mencintai Nabi SAW kepada hanya sekadar mengikuti sunnahnya, tidak termasuk zat diri baginda, hakikat sebenar mereka tidaklah sepenuhnya mereka mengikut sunnah baginda. Lihat bagaimana Sayidina ‘Umar RA berkata kepada Baginda Nabi SAW: “Ya Rasulullah, sungguh engkau adalah yang paling aku cintai lebih dari segala-galanya kecuali daripada diriku sendiri”. Lantas balas baginda: “Tidak, demi yang jiwaku di tangan-Nya, sehinggalah aku ini lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri”. Lalu kata ‘Umar: “Maka ianya mulai saat ini, demi Allah, sungguh engkau adalah yang paling aku cintai daripada diriku sendiri”. Maka balas Nabi SAW: “Baru sekarang (betul), wahai ‘Umar” (HR al-Bukhari). Jelas bahawa hakikat mencintainya itu adalah termasuk mencintai zat diri baginda).


اللهم صلّ وسلّم وبارك علـــــــــــــــــــــــــــــــيه

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/10/memahami-hadis-janganlah-kamu-melampau.html
Credit : Jomfaham

Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit

Related Posts with Thumbnails