Purdah: Fatwa Mufti Mesir | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Purdah: Fatwa Mufti Mesir -

Purdah: Fatwa Mufti Mesir




Fatwa berkenaan pemakaian purdah ini telah lama dikeluarkan oleh mufti Mesir Dr. Ali Jum’ah di dalam bukunya yang bertajuk “Al-Bayaan”. Berikut adalah ringkasan fatwanya :
Purdah atau niqab bermaksud kain yang menutupi wajah perempuan. Beza antara hijab dan purdah ialah : Hijab menutup seluruh badan manakalah purdah hanya menutup muka sahaja.
Jumhur Ulama mengatakan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kepada lelaki bukan muhrim kecuali muka dan pergelangan tangan. Demikian kerana wanita juga berhajat kepada berbagai urusan harian dengan kaum lelaki seperti jual beli. Jadi hukum memakai purdah mengikut jumhur adalah sunat.
Imam Abu Hanifah : Kaki perempuan tidak termasuk aurat. Jadi ianya boleh didedahkan. Hujahnya bahawa Allah S.W.T menegah wanita dari memperlihatkan perhiasan mereka kecuali yang zahir sahaja. Kaki juga termasuk anggota yang zahir. Pada mazhab ini, perempuan boleh mendedahkan muka, pergelangan tangan dan kaki.
Mazhab Ahmad Ibnu Hanbal : Setiap inci tubuh wanita adalah aurat kepada bukan muhrim. Maka seorang wanita itu mesti menutup keseluruhan tubuhnya.
Dallil Jumhur : Firman Allah Taala yang bermaksud : “dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya”. (An-Nur : 31)
‘Yang nampak dari padanya’ dalam ayat di atas bermaksud tempat perhiasan dapat dilihat. Celak merupakan perhiasan wajah manakala cincin pula perhiasan tangan. Kedua-duanya tidak dapat disembunyikan.
Dalil Sunnah : Sebuah Hadis diriwayatkan oleh Aisyah r.a yang bermaksud :
“Sesungguhnya Asma’ bt Abu Bakar datang kepada Rasulullah dengan pakaian yang nipis lalu Baginda pun berpaling darinya dan berkata : Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila telah baligh tidak boleh memperlihatkan tubuhnya kecuali ini dan ini” sambil Nabi menunjukkan wajah dan kedua belah pergelangan tangannya. ( Hadis riwayat Abu Daud)
Dalil Sunnah yang lain :
Sebuah Hadis berkenaan Nabi memberi peringatan kepada kaum wanita dalam sebuah majlis agar bersedekah kerana dengan sedekah itu dapat memadamkan api neraka. Lalu bertanyalah seorang wanita dari kalangan mereka yang kedua-dua pipinya bebintik : “Kenapa ya Rasulullah…”(Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasai, Ahmad dan lain lagi). Perawi Hadis ini ialah Jaabir r.a.
Hadis di atas menunjukan bahawa perempuan yang bertanya itu wajahnya tidak memakai purdah.
Pihak yang mempertahankan purdah mengatakan bahawa hadis diatas telah dimansuhkan dengan suruhan memakai purdah. Tetapi tidak ada satu pun dalil yang memansuhkan hadis tersebut.
Mereka juga menggunakan dalil Al-Quran untuk mempertahankan hujjah mereka iaitu ayat dari surah Ahzab yang bermaksud :
Hai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, Kerana itu mereka tidak di ganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
( Al-Ahzab : 59 )
Di dalam ayat ini juga tidak ada dalil yang jelas agar memakai purdah.
Al-Murghinani dari mazhab Hanafi menyatakan bahawa : Tubuh wanita keseluruhannya adlah aurat kecuali muka dan kedua pergelangan tangannya. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi yang berbunyi : “Wanita adalah aurat yang ditutupi”Pengecualian muka dan pergelangan tangan kerana keduanya mudah dilihat. Beliau menjelaskan lagi bahawa Hadis tersebut menjadi dalil bahawa kaki itu aurat. Tetapi menurutnya pandangan yang mengatakan kaki itu bukan aurat adalah lebih sahih.
Ibnu Khalaf al-Baaji ulama mazhab Maliki menyatakan bahawa : Seluruh tubuh wanita itu aurat melainkan wajah dan pergelangan tangannya. Katanya lagi : Kekadang seorang wanita itu akan makan bersama suami dan tetamu suaminya atau tetamu saudaranya. Demikian menjadikan hukum melihat wajah dan pergelangan wanita itu adalah harus. Ini kerana kedua-dua anggota tersebut akan kelihatan ketika makan.
Ibnu Hajar Al-Haitami menukilkan daripada Qadhi Iyadh bahawa mengikut ijmak ulama, wanita tidak diwajibkan menutup mukanya.
Cara berpakaian berkait rapat dengan adat sesuatu kaum. Dengan melihat keadaan semasa di Negara Mesir, adalah lebih sesuai berpegang kepada pandangan jumhur yang mengatakan tidak wajib memakai purdah. Wanita yang menutup wajahnya dengan purdah dipandang asing dalam masyarakat hari ini dan menjadi punca kepada perpecahan. Adapun bagi kaum wanita yang berada di dalam masyarakat yang berpegang kepada mazhab Hanbali, ianya tidak menjadi masalah. Menutup muka pada mereka adalah adat yang berbetulan dengan mazhab yang dipegang.
Oleh yang dimikian pandangan yang dipilih adalah pandangan jumhur ulama yang membolehkan wanita menampakkan wajah dan kedua pergelangan tangannya. Memakai purdah, jika boleh menyebabkan perpecahan atau untuk menunjukkan diri seorang yang warak, maka ia akan menjadikan hukum asal iaitu sunat beralih kepada bida’h

Credit : Pondok habib
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit

Related Posts with Thumbnails