Elakkan Taasub Dan Fanatik | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Elakkan Taasub Dan Fanatik -

Elakkan Taasub Dan Fanatik


Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim
Universiti Utara Malaysia

Taasub dan ketaasuban seringkali difahami sebagai berpegang kepada sesuatu tanpa melihat kepada kebenaran yang terangkum di dalamnya. Perkataan fanantik kerap digunakan untuk menggantikan perkataan taasub. Perkataan fanatik mengikut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995: 476) bermaksud taasub, tegar hati, kuat pegangan, kuat keyakinan dan kuat kepercayaan. Fanatisme pula ialah kepercayaan yang sangat kuat, terlampau kuat atau kepercayaan yang kuat.


Fanatik juga didefinisikan sebagai seorang yang menunjukkan keghairahan yang melampau dan kegigihan terhadap ketaatan membabi buta khususnya terhadap beberapa perkara kontroversi (sebagaimana dalam agama, politik atau falsafah). Biasanya seseorang itu menyeru terhadap pegangannya secara bersemangat dan ia adalah suatu desakan tanpa alasan dan tanpa tolak-ansur (Webster's Third New International Dictionary, 1986).


Masyarakat Islam berdepan dengan banyak sikap taasub sama ada taasub dari sudut politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Taasub dengan parti politik akan membuat pendokongnya 'mentakwilkan' atau 'mempositifkan' tindakan pemimpin, walaupun tindakan tersebut nyata salah dan membawa kerugian pada umat. Taasub kepada individu pula, namun memuliakan individu sama ada guru atau orang-orang soleh adalah dibenarkan, tetapi mungkin juga membuatkan seseorang mendewa-dewakan individu tersebut dan pendewaan inilah yang ditolak.


Taasub kepada sesuatu sistem ekonomi membuatkan seseorang sukar berubah kepada sistem ekonomi yang lain iaitu sistem ekonomi Islam. Golongan ini lebih selesa dan taasub dengan sistem ekonomi konvensional dan unsur ribawi sehingga memandang sinis kepada sistem ekonomi Islam.


Dari sudut sosialnya, sejarah peradaban Islam kerap membentangkan adanya budaya taasub mazhab di kalangan umat Islam. Pada tahap itu, pengikut-pengikut setiap mazhab bertelingkah mempertahankan mazhab masing-masing sehinggalah berlakunya pertelingkahan dan perpecahan. Namun telah berlaku kematangan sehingga ummah boleh menerima perbezaan pendapat dari sudut amalan-amalan fiqh. Hasilnya ummah dapat melihat berlakunya 'kematangan' dan setiap mazhab fiqh bertolak ansur terhadap perbezaan amalan-amalan fiqh di tengah-tengah masyarakat.


Kesan daripada kematangan ini ialah:

• Perbezaan mazhab dapat diterima secara harmoni. Dalam konteks Malaysia, umat Islam boleh menerima kehadiran Masjid India, Masjid Pakistan dan Masjid Cina Muslim.

• Pengajaran-pengajaran fiqh sunni dalam empat mazhab tersebut dapat diterima oleh majoriti negara Islam di institusi-institusi pengajian tinggi dan masjid-masjid, kecuali ada sedikit negara Islam bersikap tertutup dan meruntuhkan pengajian empat mazhab.

• Penekanan pegangan satu mazhab untuk sesuatu negara juga untuk mengelakkan ketidakselarasan telah diterima ummah. Sebagai buktinya, khilafah Uthmaniah terkenal dengan mazhab Hanafi tanpa mengenepikan hak masyarakat meyakini mazhab fiqh sunni yang lain.


Walaupun masyarakat ini dilabelkan sebagai taasub mazhab, namun mereka telah bersedia menerima perbezaan ini dengan berlapang dada tanpa sesat-menyesat atau kafir mengkafir. Oleh itu, di dalam lingkungan fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah atau Sunni, kita tidak pernah mendengar pengikut Imam Shafie Rahimahullah menyesatkan pengikut Imam Abu Hanifah Rahimahullah..


Pada situasi yang lain, telah lahir golongan yang menyeru supaya tidak bermazhab. Mereka melabelkan golongan yang bermazhab dengan berbagai label, antaranya:

• Taasub kepada mazhab.

• Mengikut imam-imam dan bukan mengikut al-Quran dan sunnah.

• Perbezaan amalan fiqh membawa kepada bid'ah dan sesat. Habis disesatkan masyarakat yang beramal hukum fiqh secara berbeza seperti qunut, talkin, zikir berjemaah dan sebagainya.


Itulah antara tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka yang bermazhab. Mereka gagal melihat atau tidak mahu melihat bahawa imam-imam mazhab dan murid-murid mereka sebenarnya mengeluarkan hukum hasil daripada kajian mendalam terhadap al-Quran dan al-sunnah. Bahkan mereka adalah generasi ulama Salaf yang disebut sebagai khayrul ummah (sebaik-baik ummah). Imam-imam tersebut tidak sekali-kali menuduh sesat kepada masyarakat pada persoalan cabang atau furuk. Bahkan mereka belajar dari ulama-ulama pelbagai mazhab untuk mendapatkan satu kepastian hujah bagi setiap mazhab tersebut. Pegangan inilah yang diwarisi kepada anak-anak murid mereka zaman berzaman. Pada keadaan tertentu, mereka bersetuju mengambil pandangan mazhab lain disebabkabkan dalil yang kuat, atau keperluan mendesak umat.


Kelihatannya, pihak yang membawa laungan untuk tidak bermazhab, mereka sebenarnya jatuh ke dalam 'taasub untuk tidak bermazhab'. Mereka sudah meletakkan satu ketetapan di dalam pemikiran mereka bahawa

• Hanya pandangan mereka benar.

• Memandang sinis kepada orang-orang yang bermazhab.

• Pandangan yang bertentangan adalah salah, sesat, bid'ah dan sebagainya. Pada banyak keadaan, mereka mendakwa pandangan berlawanan sebagai fahaman Syiah, Jahmiyyah dan sebagainya.

• Mereka tidak mahu mengikut fatwa Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi'i dan Imam Ahmad dan anak-anak murid mereka kerana tidak mahu bertaqlid. Namun secara hakikatnya, mereka adalah pentaklid kepada Sheikh Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abdul Wahhab, Albani dan lain-lain. Kebanyakan hadis yang mereka keluarkan, bukan usaha mereka, tetapi dengan bertaklid kepada Albani. Lebih membimbangkan, pandangan imam-imam sebelumnya ditakwil supaya selaras dengan pandangan sheikh-sheikh rujukan mereka.

• Melarang pembelajaran mazhab-mazhab lain selain dari mazhab mereka atas alasan mazhab-mazhab tersebut tidak berpegang kepada dalil.

• Seruan supaya semua orang berijtihad walaupun secara hakikinya pengikut mereka sebenarnya tidak mampu berijtihad, sebaliknya mereka mengubah taklid dari bertaklid kepada imam-imam mazhab kepada bertaklid dengan pentafsiran mereka.


Mereka sebenarnya telah melahirkan mazhab kelima yang lahir selepas kurun ke 7 Hijrah, dan membawa pengikutnya mengikut pentafsiran orang yang jauh zamannya (al-Nazil) dari Rasulullah SAW, berbanding Imam-Imam mazhab (al-'ali)yang lahir dan hidup di sekitar tiga kurun pertama Hijrah.


Lebih membimbangkan, sekiranya ketaasuban golongan ini membawa kepada menganggap wajib memerangi perbezaan pandangan tersebut, kerana perbezaan amalan fiqh tersebut adalah sesat dan kedudukannya adalah mesti diperangi kerana ia setaraf dengan ijmak para sahabat iaitu kewajipan memerangi golongan yang tidak membayar zakat.


Inilah antara ketaasuban yang sedang menghantui masyarakat. Sikap keterbukaan dalam berbeza pendapat menjadi semakin tertutup dan sempit. Kesan ketaasuban ini telah mula dirasai secara mendalam oleh masyarakat Islam di Malaysia. Justeru, menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin masyarakat, pendakwah-pendakwah dan para ustaz memperbetulkan keadaan ini supaya pertelingkahan dan perpecahan tidak melarat dan membawa kerugian kepada majoriti tipis masyarakat Islam di Malaysia. Semoga Allah SWT menyelamatkan umat ini daripada perpecahan yang semakin kritikal. Wallahu a'lam.
Credit : Jomfaham
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit

Related Posts with Thumbnails