Siapa Mahram kita? Jom lihat
Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanyakan 2 soalan berkaitan aurat suami-isteri dan tanggungjawab yang wajib bagi seorang suami dan isteri. Soalan saya adalah seperti berikut:
Apakah aurat suami dan isteri di mata keluarga mertua? Contohnya, dengan mertua, ipar, anak saudara, bapa/ibu saudara, suami/isteri kepada bapa/ibu saudara. Apakah had bersalaman dengan mereka?Terima kasih di atas jawapan ustaz. Saya adalah hamba yang jahil dan perlukan bantuan ustaz. Sekian.
Jawapan:
Bismillah. Aurat dan bersalaman bergantung kepada mahram atau tidak orang yang berhadapan kita. Jika dia mahram kita, harus kita bersalaman dengannya dan auratnya dengan kita (lelaki) ialah sepertimana aurat ibu dan adik-beradik perempuan kandung kita iaitu dari dada hingga lutut mengikut pandangan yang rajih (yakni boleh menampakkan bahagian rambut, leher, tangan dan betis, adapun kawasan lainnya wajib ditutup).
Maksud mahram ialah orang yang diharamkan ke atas kita mengahwininya buat selamanya. Mahram boleh timbul dengan sebab nasab, perkahwinan atau penyusuan.
Mahram dengan sebab perkahwinan -bagi seorang lelaki- hanya membabitkan empat orang sahaja:
- Ibu dan nenek isteri (yakni ibu mertua dan nenek mertua)[1]
- Menantu (yakni isteri kepada anak lelakinya atau isteri kepada cucu dan cicitnya).[2]
- Anak dan cucu tiri (anak perempuan isteri, cucu perempuan isteri, hingga ke bawah)[3]
- Ibu dan nenek tiri (yakni isteri bapa atau isteri datuk, hingga ke atas)[4]
Adapun auratnya di hadapan mereka pula ialah kawasan antara pusat hingga lutut (yakni kawasan badan yang lain harus didedahkan, adapun kawasan antara pusat dan lutut wajib ditutup). Bagi wanita pula, mahramnya dengan sebab perkahwinan juga membabitkan empat orang juga:
- Bapa dan datuk suaminya (iaitu bapa mertua dan datuk mertua).
- Menantu (iaitu suami kepada anak perempuannya dan suami kepada cucu atau cicit perempuannya)
- Anak dan cucu tiri (iaitu anak lelaki dan cucu lelaki suaminya)
- Bapa atau datuk tiri (iaitu suami kepada ibunya atau suami kepada neneknya).
Wallahu a’lam.
[1] Yakni wanita-wanita yang menjadi usul kepada isteri kita meerangkumi; ibunya, ibu kepada ibunya dan ibu kepada bapanya, hingga seterusnya (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
[2] Yakni isteri-isteri kepada furu’nya (anak, cucu dan cicitnya) (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
Namun pengharaman (yakni hubungan mahram) hanya terhenti kepada wanita yang menjadi isteri furu’ kita sahaja. Adapun wanita-wanita yang bertalian dengannya sama ada usulnya atau furu’nya tidaklah menjadi mahram kita (yakni mereka hanya menjadi mahram anak atau cucu kita sahaja) (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
[3] Iaitulah furu’ isteri, merangkumi anak perempuannya, cucu perempuannya, cicit perempuannya, hingga seterusnya ke bawah. Namun mereka hanya menjadi mahram apabila isteri disetubuhi (yakni tidak cukup dengan akad sahaja) (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
[4] Yang menjadi mahram hanyalah wanita yang menjadi isteri kepada bapa atau datuk sahaja, adapun wanita-wanita lain yang ada hubungan nasab dengan wanita tersebut (ibunya, saudara perempuannya, anak perempuannya) tidaklah mereka menjadi mahram kita (sama ada usulnya atau furu’nya), mereka hanya menjadi mahram bapa atau datuk kita sahaja (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
Ruj: Soal jawab agama bersama Ust Ahmad Adnan Fadzil, Penasihat akademik Maahad Darul Faizin. Ilmudanulamak .blogspot .com
Wallahu a’lam
Jafri Abu Bakar Mahmoodi
Maahad Darul Faizin