HUKUM MENGGOSOK GIGI & BERSUGI KETIKA BERPUASA | Koleksi Ceramah Mp3 DLL HUKUM MENGGOSOK GIGI & BERSUGI KETIKA BERPUASA -

HUKUM MENGGOSOK GIGI & BERSUGI KETIKA BERPUASA

Soalan:
Apakah hukum bersugi atau memberus gigi ketika berpuasa?

Jawapan:
بسم الله الرحمن الرحيم
Al-Imam al-Bukhari Rahimahullah meletakkan beberapa athar dari para sahabat dalam permasalahan ini di dalam Sahihnya[1]. Antara yang dinukilkan oleh beliau:
وَقَالَ أَنَسٌ إِنَّ لِي أَبْزَنَ أَتَقَحَّمُ فِيهِ وَأَنَا صَائِمٌ. وَيُذْكَرُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ اسْتَاكَ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: Telah berkata Anas bin Malik RA: “Sesungguhnya aku mempunyai tempat mengisi air dan aku masuk kedalamnya dan ketika itu aku sedang berpuasa”. Disebut dari Nabi SAW yang mana Baginda SAW bersugi dalam keadaan Baginda sedang berpuasa.

Ibn Umar R.Anhuma berkata:
وَقَالَ ابْنُ عُمَرَ يَسْتَاكُ أَوَّلَ النَّهَارِ وَآخِرَهُ، وَلاَ يَبْلَعُ رِيقَهُ. وَقَالَ عَطَاءٌ إِنِ ازْدَرَدَ رِيقَهُ لاَ أَقُولُ يُفْطِرُ
Maksudnya: (diperbolehkan) bersugi pada awal dan akhir siang dan tidak boleh menelan air liurnya. Telah berkata ‘Ato: Sekiranya ditelan air liurnya aku tidak mengatakan batal puasanya.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani  di dalam Fath al-Baari ketika mensyarahkan “bab siwaak al-Ratbi wa al-Yabis li al-So’im”, bab ke-27 di dalam Kitab al-Saum, Sahih al-Bukhari mengatakan: “Dan dari tarjamah (bab), mengisyaratkan kepada penolakan bagi mereka yang memakruhkan orang yang berpuasa bersugi dengan menggunakan kayu sugi yang lembap seperti pendapat al-Malikiyyah dan al-Sya’bi”. (Fath al-Baari. Dar al-Salaam, 4/202)

Telah bersepakat para ulama’ dalam mengatakan bahawa bersiwak/bersugi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa kecuali al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah mengatakan bahawa makruh bersugi selepas tergelincirnya matahari bagi mengekalkan bau mulut yang mana dalam sebuah hadith yang lain ada menyatakan bahawa bau mulut mereka yang berpuasa lebih harum dari bauan kasturi di sisi Allah SWT.

Tarjih
Kami melihat di dalam isu ini yang paling rajihnya adalah dibolehkan bersugi ataupun menggosok gigi bagi mereka yang berpuasa pada bila-bila masa dan ianya tidak memudharatkan puasa seseorang itu. Ini bagi menjamin kebersihan mulut dan juga menghilangkan bau mulut kerana bakteria mudah berinteraksi dengan sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut. Selain itu, ianya juga dapat menyenangkan orang di sekeliling yang berinteraksi dengan kita.  Wallahu a’lam.

[1] Kitab al-Saum, Bab Ightisal al-So’im.
Kredit : http://muftiwp.gov.my
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit

Related Posts with Thumbnails