Hukum Berdoa Dengan Mengangkat Tangan | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Hukum Berdoa Dengan Mengangkat Tangan -

Hukum Berdoa Dengan Mengangkat Tangan


Hukum Berdoa Dengan Mengangkat Tangan

Imam Bukhari telah mewujudkan satu bab khusus mengenai mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa. Kemudian beliau telah menyebut tiga hadith menyokong pendapatnya bahawa berdoa mengangkat kedua belah tangan memang suatu amalan yang disyariatkan. Ketiga-tiga hadith tersebut ialah :


1. Hadith pertama ini adalah daripada Abu Musa al 'Asy'ari radiyaLlahu anhu katanya yang bermaksud : "Berkata Abu Musa al 'Asy'ari : "Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam telah berdoa sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya. Di saat itu aku terlihat warna putih kulit di bawah kedua-dua ketiaknya."

2. Hadith kedua ialah daripada AbduLlah Ibnu Umar radiyaLlahu 'anhu, katanya yang bermaksud : "RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah mengangkat kedua-dua tangannya sambil berdoa: "Wahai Tuhanku! Aku berlindung denganMu daripada segala kejahatan Khalid".

3. Hadith ketiga daripada Abu AbdiLLah, katanya yang bererti :

"Kata Uwaisi: "Muhammad bin Ja'afar telah memberitakan kepadaku daripada Yahya bin Sa'id dan Syarik, bahawa kedua-duanya telah mendengar daripada Anas, daripada Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam, bahawa Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam telah mengangkat kedua-dua tangannya (ketika berdoa) sehingga aku nampak kulit berwarna putih di bawah kedua-dua ketiak RasuluLlah sallaLlahu 'alaii wasallam

(sumber : Fathul Bari li Ibni Hajar jilid 18/ m.s 113)

Al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani telah mengulas hadith di atas dengan katanya :

Maksudnya : "Hadith pertama menjadi hujah untuk menolak pendapat orang yang mengatakan bahawa berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangan sehingga menampakkan kulit berwarna putih di bawah ketiak tidak boleh dilakukan melainkan berdoa meminta hujan. Bahkan hadith pertama juga dan hadith berikutnya menjadi dalil bagi menolak pendapat orang yang mengatakan bahawa kedua-dua tangan langsung tidak boleh diangkat semasa berdoa melainkan berdoa meminta hujan. Mereka berpegang dengan kepada hadith Anas yang bermaksud : "Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam langsung tidak pernah mengangkat kedua-dua tangannya ketika berdoa melainkan berdoa meminta hujan sahaja."

Hadith ini memang sahih, tetapi para ulama' telah menyatukan maksud Hadith Anas bin Malik ini dengan ketiga-tiga Hadith di atas tadi dan semua Hadith yang mempunyai makna sepertinya, dengan pentafsiran bahawa penafian mengangkat tangan oleh RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam yang dinyatakan oleh Anas ialah dari segi cara mengangkat tangan sahaja dan bukannya menafikan langsung tidak mengangkat tangan,"

Kesimpulannya, cara mengangkat tangan ketika berdoa untuk meminta hujan berbeza dengan cara mengangkat tangan ketika berdoa untuk tujuan lainnya. 

Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa untuk meminta hujan adalah lebih tinggi iaitu sehingga kedudukan kedua-dua tangan sampai menyamai paras muka dan mengangkat tangan ketika berdoa untuk lainnya ialah hanya setakat menyamai paras kedua-dua bahu sahaja. (Dalam masa yang sama) jangan terkeliru dengan hadith-hadith yang menyebutkan :

"Sehingga dapat dilihat kulit putih kedua-dua ketiaknya" ketika berdoa untuk meminta hujan dan untuk lainnya. Bahkan hendaklah disatukan kedua-dua riwayat ini dengan maksud, kulit putih di bawah kedua-dua ketiak lebih banyak dapat dilihat ketika berdoa meminta hujan berbanding berdoa untuk tujuan lainnya. Boleh jadi juga kerana kedua-dua telapak tangan semasa berdoa meminta hujan ditelungkupkan ke bawah iaitu menghadap ke permukaan bumi, sedangkan berdoa untuk tujuan lainnya, kedua-dua telapak tangan dihalakan ke langit."

Berkata Imam al Munziri :"Kalau diandaikan hadith-hadith tersebut tidak dapat disatukan maksudnya, maka mensabitkan wujudnya perbuatan mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa untuk meminta hujan dan untuk tujuan lainnya oleh Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam mestilah diberikan keutamaan berbanding sebaliknya (berdoa dengan langsung tidak mengangkat kedua-dua tangan untuk tujuan lainnya).

Kata Ibnu Hajar al Asqolani : "Saya ingin tegaskan: "Lebih-lebih lagi kerana banyak hadith-hadith yang diriwayatkan telah memberikan penjelasan mengenainya.

Imam an Nawawi telah mengulas Hadith Anas yang menafikan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa dengan katanya : "Hadith Anas ini dari segi zahirnya telah menimbulkan kekeliruan bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengangkat tangan ketika berdoa melainkan berdoa untuk meminta hujan. Hakikat sebenar dalam permasalahan ini bukannya begitu. Bahkan telah wujud hadith-hadith sahih yang menyatakan bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah mengangkat tangan ketika berdoa di banyak tempat selain daripada berdoa meminta hujan. Ianya terlalu banyak untuk dihitung! Aku telah menghimpunkan lebih kurang 30 hadith yang berkaitan dengan RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa, yang dipetik daripada kitab Sahih Bukhari dan Muslim atau salah satu daripada keduanya dan aku telah memuatkannya di dalam kitab Syarhu al Muhazzab pada akhir Bab Sifat Solat.

Hadith Anas tadi hendaklah ditafsirkan bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam tidak mengangkat tangannya ketika berdoa sehingga menampakkan kulit putih dibawah kedua-dua ketiaknya melainkan berdoa untuk meminta hujan atau ianya bermaksud Anas RadiyaLLahu anhu tidak pernah melihat Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa, tetapi para sahabat lainnya melihatnya mengangkat tangan. Justeru itu, kita perlu memberi keutamaan kepada para Sahabat yang memperakui bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangannya ketika berdoa yang berlaku dalam banyak peristiwa kerana bilangan mereka ramai berbanding dengan Anas seorang sahaja yang menafikankanya disebabkan ketiadaannya.

Kata-kata Anas radiyaLlahu anhu mestilah ditafsirkan semula seperti yang telah kami sebutkan tadi. WaLlahua'lam.

(sumber : Syarh an Nawawi 'ala Muslim Jilid 3/ m.s 299)

Sumber ambilan : Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al Hafiz, Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya, Suatu Kajian Terperinci Berdasarkan Hadith Dan Ulama'Muktabar, Cetakan Pertama 2008, D'nonce Sdn Bhd, Kelantan

Credit : Jomfaham
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit

Related Posts with Thumbnails