Hukum Mencela Makanan | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Hukum Mencela Makanan -

Hukum Mencela Makanan

Oleh : Mufti Brunei

JANGAN MENCELA MAKANAN! 

(BILANGAN 248)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Islam menganjurkan umatnya menghargai nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan melarang mencelanya. Antara nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap makhlukNya ialah makanan.

Makanan itu suatu nikmat yang sangat penting bagi manusia, kerana manusia perlukan makanan untuk hidup. Makanan itu pula ada kalanya disukai, sedap dan menyelerakan dan ada kalanya pula sebaliknya. Apabila dihidangkan dengan makanan yang tidak disukai, tidak sedap dan tidak menyelerakan, ada kalanya seseorang itu tidak dapat menahan diri daripada mencela makanan tersebut.

Apakah hukum mencela makanan ini?

Larangan Mencela Makanan

Imam al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin bahawa seharusnya seorang muslim itu redha dengan rezeki dan makanan yang ada. Apabila sesuatu makanan yang dihidangkan itu tidak disukai, tidak sedap atau tidak menyelerakan, maka janganlah makanan itu dicela, cukuplah sekadar diam ataupun tidak memakannya.

Dalam hal ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan contoh terbaik yang patut diteladani. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
ﻣَﺎ
Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya Baginda memakannya, dan jika Baginda tidak menyukainya Baginda akan meninggalkannya (tidak memakannya)”

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya:
“Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda diam.”
(Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh mencela makanan yang halal dimakan. Adapun makanan yang haram pula maka bolehlah dicela dan melarang orang lain memakannya.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berpendapat bahawa antara adab makan yang penting untuk dijaga ialah tidak mencela sesuatu makanan yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa; umpamanya mengatakannya masin, masam, kurang garam, cair, tidak cukup masak dan sebagainya.

Sebahagian ulama mengharuskan mencela makanan jika ianya bertujuan untuk mengkritik cara masakannya, bukannya bertujuan untuk mencela makanan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalaani Rahimahullah, larangan mencela makanan tersebut adalah umum kerana mencela masakan seseorang boleh melukakan hati orang yang memasaknya. Akan tetapi jika ianya bertujuan untuk kebaikan masa hadapan, iaitu supaya masakan tersebut dapat diperbaiki maka tidaklah menjadi kesalahan menurut sebahagian ulama.

Jika dihidangkan sesuatu makanan sedangkan makanan tersebut tidak disukai ataupun tidak pandai memakannya, maka diperbolehkan menolak dengan mengatakan: “Saya tidak menyukai
makanan ini” atau “Saya tidak biasa atau tidak pandai memakannya” atau dengan apa jua ungkapan yang seumpamanya.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah dihidangkan dengan daging dhab bakar lalu Baginda tidak mahu memakannya. Khalid bin al-Walid Radhiallahu ‘anhu lalu bertanya kepada Baginda:

Maksudnya:
“Adakah dhab itu haram wahai Rasulullah!?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab:

Maksudnya: “Tidak, akan tetapi binatang itu tidak ada di bumi (lingkungan) kaumku, sehingga aku tidak menyukainya.”
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah riwayat yang lain pula diceritakan bahawa Baginda menjawab:

Maksudnya:
“Makanlah kamu, sesungguhnya ianya adalah halal. Akan tetapi ianya bukanlah daripada makananku (yang biasa aku makan).”
(Hadits riwayat Muslim)

Memuji Makanan Yang Telah Dimakan Disebalik larangan daripada mencela makanan, Islam
menganjurkan pula memuji makanan yang telah dimakan. Bukan sahaja dianjurkan memuji makanan, bahkan Islam turut menganjurkan untuk menyebut-nyebut apa sahaja nikmat yang
dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai tanda syukur.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya:
“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”
(Surah adh-Dhuha: 11)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan dalam kitab alAzkar bahawa memuji makanan yang telah dimakan adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam dan merupakan suatu sunnah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya:
“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah meminta lauk daripada keluarganya, lalu mereka menjawab: Kami tidak mempunyai apa-apa selain cuka. Maka Bagindapun memintanya dan memakan (makanannya) dengannya (cuka), lalu Bagindapun bersabda: Sebaik-baik lauk ialah cuka, sebaik-baik lauk ialah cuka.”
(Hadits riwayat Muslim)

Makanan adalah nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang patut dihargai dan disyukuri dan jangan sekali-kali ianya dicela. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan manusia contoh dan ikutan terbaik yang patut diteladani. Apabila makanan yang dihidangkan kepada Baginda itu disukainya, Baginda akan memakannya dan malah akan memuji makanan tersebut walaupun yang dihidangkan itu hanyalah cuka. Manakala jika makanan itu tidak disukainya ataupun Baginda tidak pandai memakannya, Baginda akan diam dan meninggalkannya ataupun
menolaknya dengan penuh kesopanan.

Credit : Jomfaham

Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit

Related Posts with Thumbnails