HUKUM MEMEGANG TAFSIR AL-QURAN DALAM KEADAAN BERHADAS | Koleksi Ceramah Mp3 DLL HUKUM MEMEGANG TAFSIR AL-QURAN DALAM KEADAAN BERHADAS -

HUKUM MEMEGANG TAFSIR AL-QURAN DALAM KEADAAN BERHADAS




Soalan:
Bolehkah seseorang yang berada di dalam keadaan berhadas (besar atau kecil) untuk memegang tafsir Al-Quran?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Jumhur ulama` mengatakan dibolehkan bagi menyentuh, membawa dan mengulangkaji tafsir al-Quran yang mana padanya terdapat ayat-ayat al-Quran meskipun dalam keadaan berjunub. Ini kerana yang dimaksudkan tafsir itu adalah makna-makna dari al-Quran dan bukan membacanya. Makanya, hukum al-Quran tidak terpakai kepadanya.
Ini adalah pendapat yang zahir dari mazhab Maliki dan juga Hanbali. Disebutkan di dalam Syarh Mukhtasar Khalil[1] oleh al-Imam al-Kharasyi al-Maliki Rahimahullah:
يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ التَّفْسِيرِ
Maksudnya: Dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh tafsir.
Begitu juga disebutkan oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya al-Mughni[2]:
وَيَجُوزُ مَسُّ كُتُبِ التَّفْسِيرِ وَالْفِقْهِ وَغَيْرِهَا، وَالرَّسَائِلِ، وَإِنْ كَانَ فِيهَا آيَاتٌ مِنْ الْقُرْآنِ، بِدَلِيلِ أَنَّ النَّبِيَّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - كَتَبَ إلَى قَيْصَرَ كِتَابًا فِيهِ آيَةٌ؛ وَلِأَنَّهَا لَا يَقَعُ عَلَيْهَا اسْمُ مُصْحَفٍ، وَلَا تَثْبُتُ لَهَا حُرْمَتُهُ
 Maksudnya: Dan dibolehkan menyentuh kitab-kitab tafsir, fiqh, risalah-risalah yang lainnya sekiranya padanya terdapat ayat-ayat daripada Al-Quran berdalilkan bahawasanya Nabi SAW pernah menulis surat kepada maharaja Rom dan pada surat tersebut terdapat ayat Al-Quran kerana ia tidak dinamakan dengan mushaf dan tidak sabit keharaman padanya.
Adapun di sisi mazhab Syafi’e, yang sahih di sisi mereka adalah haram menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak dari tafsirnya. Sekira tafsirnya lebih banyak dari ayat al-Quran, maka hukumnya dibolehkan.
Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`[3]:
كِتَابُ تَفْسِيرِ الْقُرْآنِ إنْ كَانَ الْقُرْآنُ فِيهِ أَكْثَرَ كَبَعْضِ كُتُبِ غَرِيبِ الْقُرْآنِ حُرِّمَ مَسُّهُ وَحَمْلُهُ وَجْهًا وَاحِدًا كَذَا ذَكَرَهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَغَيْرُهُ وَنَقَلَهُ الرُّويَانِيُّ عَنْ الْأَصْحَابِ وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ
Maksudnya: Kitab tafsir al-Quran, sekiranya pada tafsir itu terdapat banyaknya al-Quran (ayat-ayatnya) seperti sebahagian kitab-kitab gharib al-Quran, maka diharamkan untuk menyentuh dan membawanya pada pendapat yang satu. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Mawardi dan selainnya dan dinaqalkan juga oleh al-Ruyani daripada ashab. Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah maushaf.

Perkara yang sama juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam Raudhah al-Tolibin[4] dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari di dalam kitabnya Asnaa al-Matolib[5].

Kesimpulan
Melihat kepada perbahasan di atas, kami berpendapat dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh dan membawa tafsir al-Quran begitu juga untuk mengulangkajinya. Namun, mestilah tafsirnya itu melebihi kandungan ayat al-Quran dan pendapat ini juga sesuai dengan pendapat yang sahih di sisi mazhab Syafi`e. Menyentuh tafsir seperti ini tidaklah mengurangkan pengagungan terhadap al-Quran. Adapun yang terbaiknya adalah dengan berwuduk. Wallahu a`lam.

Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
11 Mei 2017 bersamaan 14 Sya`ban 1438H

[1] Lihat Syarh Mukhtasar Khalil. Dar al-Fikr, 1/161.
[2] Lihat Al-Mughni. Maktabah al-Qaherah, (1/109).
[3] Lihat Al-Majmu` Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (2/69).
[4] Lihat Raudhah al-Tolibin wa `Umdah al-Muftiin. Al-Maktab al-Islami, (1/80).
[5] Lihat Asnaa al-Matolib fi Syarh Raudh al-Tolib. Dar al-Kitab al-Islami, (1/61).
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit
Related Posts with Thumbnails