Menamakan Anak : Panduan Dan Hukumnya BAHAGIAN PERTAMA | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Menamakan Anak : Panduan Dan Hukumnya BAHAGIAN PERTAMA -

Menamakan Anak : Panduan Dan Hukumnya BAHAGIAN PERTAMA


MENAMAKAN ANAK: PANDUAN DAN HUKUMNYA (BILANGAN 253 BAHAGIAN PERTAMA)

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan. Dengan nama itulah dia akan dikenali. Dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada hari akhirat. Kerana itu nama bukan perkara kecil. Malahan ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan itu tidak menepati ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Nama juga merupakan simbol khusus yang dapat membezakan diri seseorang itu daripada orang lain. Bahkan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun bukan. Nama juga boleh mempengaruhi atau mencerminkan sifat dan keperibadian orang yang empunya nama. Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian untuk anak yang baru lahir. Sejak anak damit masih dalam kandungan lagi para ibubapa sudah mencari dan merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak mereka yang akan lahir.

Trend menamakan anak dengan nama-nama yang panjang lagi susah disebut eloklah difikirkan. Sebutan yang salah akan menukar makna nama tersebut kepada makna yang lain pula. Oleh itu, Islam telah menyediakan panduan yang khusus dan hukum-hukum yang berkaitan dengan pemberian nama ini.

Waktu Yang Paling Afdhal Menamakan Anak Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Adzkar, sunat diberikan nama kepada anak pada hari ketujuh ataupun pada hari kelahirannya berdasarkan hadits-hadits yang shahih dan harus menamakan anak sebelum atau selepas hari ketujuh. Imam al-Bukhari Rahimahullah pula mengkhususkan waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran adalah bagi ibubapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka.

Perkara ini berlaku kepada Ibrahim Radhiallahu ‘anhu putera Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, ‘Abdullah bin az-Zubair Radhiallahu ‘anhuma dan beberapa anak para sahabat yang lainnya. Sementara bagi ibubapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama hingga ke hari yang ke tujuh. Pendapat ini disokong oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalaani Rahimahullah dalam kitabnya Fath al-Bari. Begitu juga sunat diberikan nama kepada anak damit yang meninggal sebelum sempat diberikan nama.

Sunat juga diberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan yang gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah. Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk keduanya seperti Hindun " هند " dan Thalhah ."طلحة"

Memilih Nama Yang Baik

Sunat menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad Rahimahumallah daripada Abu ad-Darda‘ Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

إِنَّ ُ كمْ تُدْعَوْ َ ن يَوْمَ اْلقِيَامَةِ بَِأسْمَائِ ُ كمْ وََأسْمَاءِ آبَائِ ُ كمْ ، َفحَسِّنُوْا َأسْمَاءَ ُ كمْ.

(رواه أبو داود وأحمد)

Maksudnya:
“Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu,maka perelokkanlah nama-nama kamu.”
(Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Nama Yang Paling Disukai Oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala

Sebaik-baik nama dan yang paling disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah ‘Abdullah " عبد الله " dan ‘Abdurrahman " "عبد الرحمن sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

َأحَبُّ الأَسْمَاءِ إَِلى اللهِ تَعَاَلى عَبْدُ اللهِِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ.

(رواه أبو داود)

Maksudnya:
“Nama-nama yang paling disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Sebaik-baik nama selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman ini pula ialah nama-nama ‘Abd " عبد " (hamba) yang disandarkan kepada nama-nama Allah yang sembilan puluh sembilan (al-Asma ‘alHusna) seperti ‘Abdurrahim " عبدالرحيم ", ‘Abdulmalik " ,"عبدالملك‘Abdussalam " عبدالسلام " dan yang seumpamanya. (Fatwa: 24/1984)

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, nama-nama sebegini memiliki kelebihan, kerana ianya menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubudiyyah (penghambaan). Manakala nama Muhammad " محمد " dan kemudian nama Ahmad " أحمد " pula adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama tersebut. (Fatwa: 24/1984)

Menggunakan Nama-Nama Para Nabi Dan Para Malaikat

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa menurut mazhab as-Syafi‘e dan jumhur ulama, harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi dan begitu juga nama-nama para malaikat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyarankan untuk menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda:

تَسَمَّوا بَِأسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ.

(رواه أبو داود)

Maksudnya:
“Bernamalah kamu dengan nama-nama para Nabi.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al- Mufrad bahawa Baginda menamakan seorang sahabat Baginda
sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf ‘alaihissalam.

Abu Hurairah dan Jabir Radhiallahu ‘anhuma pula telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

سَمُّوا بِاسْمِي وَ َ لا تَ ْ كتَنُوا بِ ُ كنْيَتِي.

(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya:
“Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku.”
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Kata ulama:
Bahkan nama Muhammad mengandungi beberapa kelebihan yang sangat tinggi, sayugia tiada kosong dari nama Muhammad itu di dalam sesuatu keluarga.
(Fatwa: 66/91)

Imam asy-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu ketika menamakan anak beliau dengan nama Muhammad berkata:
“Aku menamakannya dengan nama yang paling aku sukai.”
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, maksud kata Imam as-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu “nama yang paling aku sukai” itu ialah nama yang paling disukainya selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.

Perlu diingat, nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia. Oleh itu jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti “Md.” atau “Mohd.”, kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab terhadap Nabi Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Fatwa: 66/1991)

Sumber : Mufti Brunei
Credit : Jomfaham @ IbnuNafis
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit
Related Posts with Thumbnails