Makanan Kegemaran Rasulullah S.A.W & Kelebihan dari Sudut Kesihatan | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Makanan Kegemaran Rasulullah S.A.W & Kelebihan dari Sudut Kesihatan -

Makanan Kegemaran Rasulullah S.A.W & Kelebihan dari Sudut Kesihatan

Daripada Aisyah RA,
Bala yang pertama sekali berlaku kepada umat ini sesudah kepergian Nabi SAW ialah kekenyangan perut, sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemah lah hatinya dan akan bermaharajalela syahwatnya.
(Hadis riwayat Bukhari)

Kesempurnaan Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah tiada tolok banding yang menjadi ikutan Muslim sedunia termasuk diet makanan Baginda. Dalam aspek berkaitan etika pemakanan sihat, diet Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dan ikutan kerana baginda adalah contoh teladan yang terbaik buat semua umat manusia. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mengalami sakit perut walaupun sekali sepanjang hayatnya kerana Baginda merupakan seorang yang pandai menjaga pemakanannya.
Antara tatacara pemakanan sihat Rasulullah SAW adalah:
1.Suka minum susu.
Merupakan makanan kegemaran Rasulullah SAW. Susu kaya dengan protein, kalsium, vitamin A dan B. Zat protein berkualiti tinggi penting untuk membina tisu badan serta crucial untuk pembentukan antibodi melawan penyakit. Zat Kalsium dalam susu pula mudah diserap oleh badan dan kita semua tahu kalsium memang penting untuk pembinaan gigi dan tulang. Kekurangan kalsium mengundang osteoporosis. Zat-zat lain yang terdapat dalam susu ialah fosforus, magnesium, potassium, Vitamin B2(riboflavin) dan Vitamin D.
2. Rasulullah tidak minum susu sewaktu baginda memakan daging, ayam ataupun ikan.
Nabi Muhammad SAW pernah melarang para sahabat daripada makan ikan bersama susu. Dikhuatiri akan cepat mendapat penyakit. Ini terbukti oleh saintis yang menjumpai di mana dalam badan ayam ion+(Positive Ions) sedangkan dalam makanan laut mempunyai ion-(Negative Ions), jika kedua-dua jenis makanan ini bercampur maka akan terjadinya tindak balas biokimia yang aktif dalam tubuh sekali gus mampu menyebabkan perut dan usus rosak dengan teruk.
3. Rasulullah SAW melarang meminum susu bersama cuka.
Kerana cuka boleh merencatkan penyerapan protein susu dan kemasaman nya boleh menghakis perut melalui tahap keasidannya lama kelamaan boleh menyebabkan gastrik.
4. Rasulullah SAW tidak makan ikan bersama daging, telur atau daun salad.
Dalam Kitab Al-Quran ada melarang manusia untuk makan makanan darat bercampur makanan laut misalnya memakan nasi berlaukkan tom yam dan lauk kenduri. Haiwan di laut dan di daratan mengandungi cas ion yang berbeza, kalau kita campurkan juga, sistem usus dalam perut kita akan rosak. jadi,  ia bakal mengundang penyakit dan membahayakan kesihatan.
5. Rasulullah SAW memakan buah-buahan terlebih dahulu.
Makan buah sebelum makan (1/2 jam sebelum makan nasi). Kita tak sepatutnya makan buah selepas makan nasi. Buah-buahan mengandungi serat/fibre yang tinggi. Apabila kita makan buah sebelum makan nasi, secara automatik perut kita telah penuh dengan serat. jadi, kita tak akan makan nasi dalam kuantiti yang banyak..
6. Rasulullah SAW biasa memakan bijirin seperti Habbatus Sawda’, barli dan oat.
Menurut Bukhari-Muslim, Nabi SAW bersabda:
Al-Habbah Al-Sawda’ mempunyai ubat bagi segala penyakit kecuali mati.
Pemakanan berasaskan bijian-bijian sememangnya berkhasiat kerana ia kaya dengan bahan phytonutrients. Phytonutrients adalah sejenis antioksidan yang berkuasa tinggi yang mampu meningkatkan sistem pertahanan badan, menyihatkan jantung, mengawal penyakit kencing manis dan kegemukan melampau serta juga mampu mencegah kanser.
7. Baginda SAW juga memakan roti yang diperbuat daripada gandum asli.
Gandum sempurna mempunyai perbezaan berbanding tepung gandum proses kerana ia mengandungi kadar protein, serat dan vitamin E tinggi yang mengurangkan risiko penyakit jantung dan merendahkan kadar kolesterol. Roti gandum mengandungi karbohidrat di mana setiap individu memerlukan 50 hingga 60 peratus karbohidrat setiap hari untuk membekalkan tenaga dan juga mempunyai zat-zat logam yang lain, vitamin dan serat untuk kepentingan kesihatan manusia.
Mengikut riwayat oleh Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata,
Keluarga nabi tidak pernah kenyang dengan memakan roti gandum dua hari berturut-turut dan (pada hari mereka tidak memperoleh roti) mereka memakan tamar.
8. Buah tamar
Sememangnya sinonim dalam kehidupan Rasulullah SAW, ia dianggap sebagai makanan yang sempurna kerana ia mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan untuk kesihatan manusia. Kandungan serat yang tinggi dan lemak yang rendah serta gabungan beberapa zat lain yang terkandung di dalam buah tamar menyebabkan ia amat berkhasiat dan sentiasa digemari dan menjadi hidangan penting bagi nabi dan keluarga. Manakala buah tamar pula mempunyai unsur- unsur seperti karbohidrat, protein, serat, lemak serta zat logam yang lain untuk melengkapkan lagi hidangan tersebut. Ada sejarah di mana, seorang wanita Yahudi telah meletakkan racun dalam makanan Rasulullah SAW, dan ternyata bisa racun itu dapat di neutralkan oleh khasiat yang terdapat di dalam kurma yang dimakan oleh Baginda SAW. Sebab itulah Rasulullah SAW mengibaratkan orang yang tidak mempunyai kurma di rumahnya sebagai orang miskin.
Bukhari dan Muslim meriwayatkan; bahawa Aisyah berkata,
Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada (untuk dijadikan makanan) hanyalah buah tamar dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging.
9. Nabi SAW juga memakan buah-buahan lain seperti tembikai.
Sehubungan dengan ini, Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan bahawa Aisyah pernah berkata, Rasulullah pernah memakan buah tembikai bersama-sama dengan buat tamar basah. Tembikai mengandungi 92 peratus air dan 8 peratus gula serta mengandungi antioksidan yang disebut lycopene yang mampu mencegah daripada pelbagai penyakit terutamanya kanser.
10. Rasulullah SAW juga menggemari sayuran dari jenis mentimun.
Mentimun kaya dengan air justeru ia menyejukkan badan. Di samping itu, mentimun juga mengandungi vitamin C yang mampu meredakan radang kulit dan juga mengandungi silika. Silika merupakan unsur penting yang diperlukan bagi menjamin kesihatan sistem saraf yang melibatkan otot, tendon, ligamen dan tulang. Oleh kerana mentimun mengandungi banyak air, maka pengambilannya dengan makanan yang berserat merupakan satu langkah yang baik kerana ia akan memberi manfaat yang lebih berkesan kepada kesihatan tubuh badan.
11. Nabi SAW juga menggalakkan pengambilan madu.
Baginda SAW mengamalkan minum air sejuk yang bercampur sedikit madu setiap pagi. Ia menghindar daripada segala penyakit. Madu kaya dengan gula(yang sihat), sedikit air, vitamin dan mineral penting untuk kesihatan badan. Dari segi sudut kesihatan, madu dikatakan berfungsi untuk membersihkan lambung, mengaktifkan usus, menyembuhkan sembelit dan keradangan.
Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya ada ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang yang memikirkan(An-Nahl: 68-69)
12. Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan banyak meminum air
Dengan meneguk perlahan-perlahan sambil memegang gelas dengan tangan kanan  dan melarang bernafas atau menghembus ke dalam air tersebut. Hal ini kerana udara yang sengaja dibuihkan dalam air itu mungkin mengandungi kuman dan bakteria yang berbahaya kepada kesihatan.
Minum sebaik-baiknya sebelum makan. Jangan meneguk air ketika sesi menjamah makanan, minum lah air jika tersedak, berasa kekeringan ataupun setengah jam sesudah makan, hal ini makan melancarkan selera makan serta mengelakkan dari terkena penyakit kembung air. Meminum air sekurang-kurangnya setengah jam sesudah makan dapat mengembalikan tenaga yang hilang pada kadar tempoh yang lama serta mengembalikan keserian wajah dan awek muda.
13. Rasulullah SAW melarang manusia makan dengan banyak dan melampau.
Diriwayatkan bahawa para sahabat berkata dari Rasulullah SAW:
Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.
Sebaliknya manusia itu hanya perlu makan ketika ia lapar dan berhenti sebelum ia kenyang. Baginda SAW meminta seseorang itu untuk mengisi 1/3 daripada ruang perutnya dengan air, 1/3 dengan makanan dan selebihnya dengan ruang kosong (udara).
14. Rasulullah SAW juga menyuruh menjamah secubit garam sebelum makan untuk menolak 70 macam penyakit dan ambil secolek lagi dengan jari manis tangan kanan setelah makan.
15. Rasulullah SAW juga mengajar untuk kita makan dengan tangan kanan tanpa sudu, garpu ataupun chopstick.
Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.
Apabila selesai hendaklah dijilat jari-jari tersebut. Ahli saintis telah menemukan bahawa enzim banyak terkandung di celah jari-jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur.
16. Rasulullah SAW melarang meninggalkan makan malam.
Sesiapa yang meninggalkan makan malamnya, dia akan mempercepatkan tua sebelum masanya kerana keasidan serta tahap kolesterol dalam darah dan badannya akan berganda. Makanlah sekadar mengisi perut (bukan kenyang) walaupun dengan sebiji kurma untuk proses penghadaman dan proses metabolisme gizi-gizi makanan ke saluran bahagian lain sebab semasa tidur pertumbuhan badan kita akan menentukan tahap kesihatan kita.
17. Berpuasa
Selama sebulan pada bulan Ramadan dan disunatkan berpuasa pada hari-hari tertentu boleh menjamin kesihatan yang berkekalan sepanjang hayat. Apabila bersahur, minumlah sekurang-kurangnya segelas air sejam sebelum solat subuh dan selewat-lewatnya 10 minit sebelum masuk waktu imsak. Ini adalah perlu bagi menjamin kekuatan sewaktu menjalani ibadah puasa. Manakala apabila berbuka puasa pada waktu Maghrib, perlu disegerakan dengan memakan 3 biji kurma atau manisan dan segelas air terlebih dahulu.
Oleh itu, pengambilan diet dan menghindari larangan seperti di atas yang diamalkan oleh Rasulullah SAW merupakan aturan yang baik untuk mengekalkan kesihatan dan ia telah pun dibuktikan akan kelebihannya melalui kajian sains semasa. Justeru, amalan pemakanan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW seharusnya diikuti dan dicontohi oleh semua peringkat umur demi kesihatan yang mantap, kelangsungan hidup dan penyempurnaan ibadah yang bermutu.
Jadi, jika kita kaji semula dari apa yang ditinggalkan oleh amalan Rasulullah SAW yang cukup indah ini, pasti kita akan mengerti kenapa, pelbagai sakit misteri, kronik semakin menjadi-jadi di dalam masyarakat kita kini. Ini semestinya kerana, kita lupa untuk meneladani amalan atau tabiat pemakanan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Akhir kata, mari kita renungkan bersama-sama sabda Rasulullah SAW:
Barang siapa yang sedikit makan, maka perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya, barang siapa yang banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.
Kredit : Usahawan.com
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit
Related Posts with Thumbnails