Bilakah Dajjal akan Keluar? | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Bilakah Dajjal akan Keluar? -

Bilakah Dajjal akan Keluar?


Tamim Ad-Dari RA pernah mengalami satu peristiwa yang aneh. Pada suatu ketika, beliau bersama-sama 30 orang rakannya telah pergi ke laut dengan menaiki kapal. Tanpa diduga, ombak kencang datang bertiup dan membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat mengemudi kapal tersebut ke daratan dan terpaksa berada di tengah-tengah samudera selama sebulan. Lama-kelamaan, kapal mereka terdampar juga di sebuah pulau yang tidak mempunyai manusia. Dengan tidak semena-mena, mereka terjumpa sejenis makhluk yang berbulu tebal sehingga tidak nampak dubur dan tidak diketahui jantinanya.
            Mereka bertanya, “Makhluk apakah engkau ini?”

            “Aku adalah Al-Jassasah.”

            “Apa itu Al-Jassasah?”

            Makhluk aneh itu tidak menjawab bahkan dia berkata, “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk bertemu lelaki seperti ini. Dia juga mahu bertemu kamu.” kemudian, makhluk aneh itu pun membawa mereka menemui lelaki yang dikatakannya. Di situ, mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap yang tidak pernah dilihat mereka. Dari tangan sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi. Begitu juga dari lutut sehingga ke telapak kakinya.

            Mereka bertanya, “Siapakah kau?”

            Manusia yang seperti raksasa itu menjawab, “Kamu telah mendengar cerita mengenai aku. Sekarang, giliran aku pula untuk bertanya. Siapakah kamu semua?”

            “Kami adalah manusia berbangsa Arab,” jawab mereka. Kemudian, mereka pun menceritakan bagaimana mereka boleh terdampar di pulau itu.

            “Ceritakan kepadaku mengenai kebun kurma di Bisan (sebuah tempat di negeri Syam),” pinta manusia raksasa tersebut.

            “Keadaan yang bagaimana yang kau mahu tahu?”

            “Adakah pokok kurma itu berbuah?”

            “Ya, pokok itu berbuah.”

            “Aku takut jika pokok kurma itu tidak berbuah.” Manusia raksasa itu bertanya lagi, “Ceritakan kepadaku mengenai Sungai Tabarah.”

            “Mengenai apa yang kau maksudkan?”

            “Maksud aku, adakah airnya masih ada?”

            “Airnya ada, tidak surut.”

            “Air sungai itu dikhuatiri akan kering.” Kemudian, dia berkata lagi, “Ceritakan kepada aku mengenai Nabi Al-Amin. Apa yang dia sedang buat?”

            “Beliau telah berhijrah dari Mekah ke Madinah.”

            “Adakah dia diperangi oleh orang Arab?”

            “Ya. Dia diperangi oleh orang Arab.”

            “Habis, apa pula tindakannya terhadap mereka (orang Arab)?”

            Tamim Ad-Dari dan rakan-rakannya pun menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah mengembangkan dakwahnya dan telah mempunyai ramai pengikut.

            Manusia raksasa itu berkata, “Memang begitulah, padahal mereka akan beruntung jika taat kepadanya.” Kemudian, manusia raksasa itu pun berkata, “Sekarang, aku mahu beritahu kamu bahawa akulah Al-Masih Dajjal! Suatu masa nanti, aku akan dibebaskan dan aku akan menjelajah dunia ini dalam masa 40 malam. Semua tempat aku masuk kecuali Mekah dan Madinah kerana dua tempat itu dikawal oleh malaikat. Aku tidak dapat menembusinya.”

            Perkara yang dialami oleh Tamim Ad-Dari RA itu diceritakan kepada Rasulullah SAW ketika beliau berjumpa dengan Baginda SAW. Rasulullah SAW membenarkan segala apa yang dikatakan oleh beliau. Rasulullah pun bersabda di hadapan Para Sahabatnya, “Sememangnya apa yang dikatakan oleh Tamim ini lebih meyakinkan aku. ceritanya sama seperti apa yang aku khabarkan kepada kalian bahawa Mekah dan Madinah tidak akan dimasuki oleh Dajjal. Ia (Dajjal) akan muncul dari arah Timur.”(Riwayat Muslim)

Credit : Khairy Tajudin
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit
Related Posts with Thumbnails