Hukum Ciuman Menurut Sunnah Bab Akhir | Koleksi Ceramah Mp3 DLL Hukum Ciuman Menurut Sunnah Bab Akhir -

Hukum Ciuman Menurut Sunnah Bab Akhir

Penulis : Ustaz Taha Hassan Azhari



Pada entri yang lepas, kita telah membincangkan permasalahan mengenai ciuman sekitar di kalangan sesama manusia sahaja. Di mana penghujahan dalil yang kita bawa semuanya adalah thabit (ada ketetapan) daripada sunnah nabi s.a.w yang mulia serta pandangan sebahagian ulama yang mengharuskannya. Sebagai kesimpulan, ciuman seseorang pada saudaranya samada di muka, tangan, dahi, pipi, kedua lutut, kaki dan berpelukan hukumnya adalah sunnah. Kerana ia thabit dengan dalil-dalil yang diterangkan. Begitu juga, bagi seorang yang ingin mencium bahu saudaranya, maka ia juga diharuskan. Walaupun kita tidak menemui dalil yang jelas mengenainya, tapi di sebabkan atas dasar kasih sayang dan penghormatan, maka perbuatan tersebut diharuskan. Untuk entri kali ini, kita akan membincangkan satu topik yang sama tetapi berbeza keadaannya. Dalam perbincangan yang lepas, hukum keharusan bagi mencium sesama manusia itu ada dalil serta istinbatnya. Maka, kali ini satu lagi pendedahan yang akan kita kongsikan adalah berkaitan hukum keharusan untuk mencium dan menyentuh selain manusia bertujuan untuk memperolehi keberkatan daripada Allah s.w.t dengan dalil-dalil yang sahih dan athar para salafus soleh.


Perbincangan 

1. Dalil: Mencium tempat-tempat yang mulia dan Mushaf.

i. Al-Allamah Muhammad Sulaiman al-Kurdi al-Madani di dalam fatwanya ‘Al-Ahadith As-Sahihah Wa Al-Athar Al-Sarihah’ menunjukkan ‘HARUS’ untuk mencium tempat-tempat yang mulia. Terdapat dalil bahawa sesungguhnya beberapa lelaki daripada kalangan sahabat r.a apabila mereka masuk ke masjid nabawi, mereka mengambil biji-biji delima di mimbar nabi s.a.w yang pernah dipegang oleh tangan baginda nabi s.a.w sendiri.

ii. Begitu juga, ulama al-Manasik (ulama yang membincangkan tentang hukum umrah dan haji) menjelaskan bahawa ‘SUNAT’ hukumnya ber’ISTILAM’ yakni menyentuh dengan tangan dan mencium pada ‘Rukun Yamani’ (salah satu sudut di bahagian ka’abah) yang tidak kedapatan padanya Hajar Aswad.

iii. Berkata imam al-Zarqani di dalam syarahnya: “Dinaqalkan dari ibn Abi as-Saif al-Yamani as-Syafie, harus hukumnya mencium Mushaf dan kubur orang-orang saleh.”

iv. Di dalam kitab ‘Khulasah al-Wafa’ oleh Said as-Samhudi yang berbunyi: Daripada Ismail at-Taimi berkata:
“Sewaktu ibn Munkadir ditimpa penyakit ‘as-Sumat’ (sakit pada lidah hingga menyebabkan tidak boleh bercakap), maka beliau berdiri dan meletakkan pipinya di atas kubur nabi s.a.w. Di samping menahan penderitaan yang beliau hadapi.” Berkata Said as-Samhudi: “Sesungguhnya beliau memohon penyembuhan (kepada Allah secara bertawassul dengan nabi s.a.w) di kubur baginda yang mulia.”


v. Di dalam catatan imam Tahawi di dalam kitab ‘Hasyiah at-Tahawi A’la Muraqi al-Falah’ menyatakan: Adapun saidina Umar r.a mengambil Mushaf setiap pagi dan menciumnya. Begitu juga kepada saidina Uthman r.a, beliau mencium dan menyapu Mushaf di mukanya.

vi. Terdapat juga dalil yang menyatakan bahawa ibn Umar r.a meletakkan tangannya di atas kubur nabi s.a.w.

vii. Datang dengan sanad yang Jayyid (bagus): Sesungguhnya Bilal r.a ketika datang menziarahi kubur nabi s.a.w dari Syam, beliau menangis dan menggosokkan mukanya di atas kubur nabi s.a.w dengan kehadiran para sahabat r.a di sekelilingnya, tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang mengingkarinya. Begitu juga seperti yang dilakukan oleh Abu Ayyub al-Ansari ketika datang dari Rum.

viii. Berkata imam as-Sayuti: “Disunatkan mencium Mushaf, kerana I’krimah bin Abu Jahal r.a melakukannya. Ini kerana ia merupakan qias kepada mencium Hajar Aswad seperti yang disebutkan oleh sebahagian ulama. Kerana al-Quran itu adalah hadiah daripada Allah s.w.t, maka disyariatkan untuk menciumnya seperti disunatkan mencium tangan anak kecil.”


2. Dalil: Nabi mencium al-Mihjan dan Hajar Aswad.

i. Di dalam himpunan antara ‘Sahihaini’ (Sahih imam Bukhari dan imam Muslim) dan Musnad Abi Daud: Sesungguhnya nabi s.a.w memberi tunjuk (isyarat) ke arah Hajar Aswad dengan Mihjannya (tongkat yang berbengkok-bengkok) dan mencium Mihjannya. Maka mereka (sahabat r.a) melihat bagaimana nabi s.a.w mencium Mihjannya di samping keadaan baginda menunjukkan Mihjannya ke arah Hajar Aswad.

Hadith ini bermaksud bahawa perintah nabi s.a.w untuk mencium Hajar Aswad setelah baginda menciumnya.


ii. Di dalam kitab ‘Hasyiah al-Iqna’ karangan oleh Syeikh Mansur al-Bahuti al-Hanbali, berkata: “Adapun Ibrahim al-Harbi (sahabat imam Ahmad bin Hanbal) suka mencium bilik nabi s.a.w.”


3. Dalil: Ibn Abidin dan tirai di atas kubur.

i. Di akhir catatan (Hasyiah ibn Abidin: 6/323) oleh al-A’llamah ibn Abidin al-Hanafi yang berbunyi: “Meletakkan tirai (selimut), serban dan pakaian ke atas kubur orang-orang yang saleh dan para aulia, hukumnya adalah makruh seperti yang dinyatakan oleh Fuqaha (ahli Feqh).” Oleh yang demikian, beliau (ibn Abidin) memfatwakan di dalam hujahnya, makruh bagi hukum meletakkan tirai ke atas kubur.

ii. Berkata Syeikh Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi al-Hanafi:
“Akan tetapi, kita sekarang berpendapat; (tidak mengapa) jika ia bertujuan untuk memberi penghormatan di mata orang awam sehingga tiada di kalangan mereka yang membenci tuan kepada empunya kubur ini, yang mana terletak di atasnya pakaian dan serban bertujuan untuk mendapatkan kekhusyukan dan adab bagi hati-hati pengunjung yang lalai. Dengan cara sedemikian, hati-hati mereka yang lalai tadi mendapat kesedaran ketika hadir menziarahi pusara mereka sewaktu beradab di hadapan wali-wali Allah yang ditanam di kubur tersebut - yakni sewaktu kehadiran ruh-ruh mereka di kubur masing-masing (bagi menjawab salam dan sebagainya). Maka ianya adalah perkara yang diharuskan, tidak sepatutnya melarang perkara tersebut. Kerana setiap amalan disertakan dengan niat, dan balasan setiap manusia sesuai apa yang diniatkan. Kerana sesungguhnya perselisihan sedemikian rupa berlaku sejak dari di kalangan salaf soleh lagi. Seperti yang dikatakan oleh fuqaha di dalam kitab Haji: “Sesungguhnya selepas tawaf Wida’, orang yang melakukan tawaf tadi mengundur diri secara ‘al-Qahqara’ (berjalan secara mengundur) sehingga keluar dari masjid kerana penghormatan pada Ka’abah.”

(Sila rujuk kitab Kasyf An-Nur A’n Ashab Al-Kubur).


4. Dalil: Mencium kubur nabi s.a.w.

i. Adapun bertabarruk dengan kesan-kesan peninggalan nabi s.a.w, maka hendaklah disebutkan (dizahirkan) dan tiada kesalahan (halangan)terhadapnya. Di dalam ‘Hasyiah al-Idoh’ oleh imam ibn Hajar al-Haitami, apa yang boleh diambil faedah bahawa al-I’zzu ibn Jama’ah membantah larangan yang dinyatakan oleh imam ibn Hajar al-Haitami tentang larangan mencium kubur nabi s.a.w. Beliau berpendapat mencium kubur nabi s.a.w dan menyentuhnya adalah tidak mengapa berdasarkan pandangan imam Ahmad bin Hanbal. Demikian, pandangan al-Muhib at-Tabari dan ibn Abi Saif terhadap keharusan mencium kubur nabi s.a.w dan menyentuhnya, begitu juga ke atas kubur ulama solihin.

ii. Dan berdasarkan kata imam as-Subki, bahawa ketiadaan toleransi terhadap kubur nabi s.a.w adalah bukan daripada ijmak (persepakatan) ulama ke atasnya. Kemudian beliau menyebutkan satu hadith tentang kisah kehadiran Marwan, kedapatan seorang lelaki yang bermulazamah (sentiasa) berada di kubur nabi s.a.w. Seperti yang terkandung di dalam hadith, bahawa lelaki yang disebutkan itu adalah Abu Ayyub al-Ansari r.a. Hadith ini dikeluarkan oleh imam Ahmad, Tabarani dan Nasa’i.


5. Dalil: Nabi s.a.w bertabarruk dengan bekas minuman kaum Muslimin.

i. Terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan selainnya mengenai kisah baginda nabi s.a.w datang ke tempat bijana minuman saidina Abbas r.a untuk minum dari bekas tersebut. Maka saidina Abbas r.a menyuruh anaknya Abdullah untuk memberikan kepada nabi s.a.w air dari bekas yang lain yang diambil dari dalam rumahnya selain dari bekas yang diminum oleh sahabat r.a yang lain. Kerana saidina Abbas r.a tidak mahu bekas tersebut mengotori baginda s.a.w. Setelah itu, berkata saidina Abbas r.a:
“Wahai Rasulullah, ini adalah bekas minuman yang telah disentuh oleh tangan-tangan orang, kami akan berikan air yang lain.” Nabi s.a.w menjawab: “Tidak, sebenarnya aku inginkan keberkatan kaum Muslimin dan sentuhan tangan-tangan mereka.”
(Hadith imam Bukhari, bil:1635).

Jika Rasulullah s.a.w berkata sedemikian rupa, apa lagi dengan perkara yang lain? Maka setiapa orang Muslim itu ada NUR dan KEBERKATAN. Dan kita TIDAK BERIKTIKAD sama sekali bahawa yang boleh memberi ‘At-Ta’thir’ (kesan dan pengaruh) itu adalah selain Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, tuntutan keberkatan orang-orang yang saleh adalah dengan mencari hasil peninggalan mereka. Tidak ada sesuatu pun yang boleh membawa kepada kesyirikan dan perkara-perkara yang diharamkan. Wahai orang-orang yang memiliki akal fikiran, semua orang mengetahui bahawa pelaku adalah Allah s.w.t.


6. Dalil: Bertabarruk dengan apa yang disentuh oleh tangan nabi s.a.w. 

i. Di dalam kitab ‘Syifa’ karangan oleh al-Qadhi I’yad menyatakan bahawa: Kelihatan ibn Umar r.a meletakkan tangannya di atas tempat duduk Rasulullah s.a.w di mimbar baginda, kemudian meletakkannya pula ke mukanya yakni menyapukan tangannya ke muka beliau bertujuan untuk mengambil keberkatan dengan sentuhan jasad dan pakaian nabi s.a.w.

Berkata as-Syihab:
“Hadith ini diriwayatkan oleh ibn Saad dan ia menunjukkan keharusan untuk bertabarruk dengan para nabi a.s dan orang saleh berkenaan dengan hasil peninggalan dan apa saja yang berkaitan dengan mereka. Selagi mana ia tidak membawa fitnah dan kerosakan aqidah.


ii. Berikut kita membawa dalil yang diriwayatkan dari saidina Umar r.a: Sesungguhnya beliau memotong pokok yang berlaku di bawahnya kisah perjanjian al-Bai’ah, ini disebabkan keadaan yang boleh mendatangkan fitnah terhadap masyarakat Islam (pada waktu itu) kerana pendekatan janji mereka dengan orang-orang jahiliyyah (menunjukkan bahawa penyelewengan berlaku pada waktu itu). Maka, secara hukumnya tiada kontradisi di antara keduanya (keharusan untuk bertabarruk dan fitnah, selagi mana tidak mendatangkan kerosakan aqidah).

“Tidak ada yang peduli (mengambil pengajaran) bagi orang yang mengingkari sepertinya (hukum bertabarruk) daripada kalangan orang yang jahil di zaman kita.”


7. Dalil: Imam Malik dan Madinah al-Munawwarah.

i. Dan untuk perbincangan masalah tabarruk dengan kesan peninggalan nabi s.a.w ini, adapun imam Malik tidak menunggang tunggangannya apabila menuju ke Madinah al-Munawwarah. Ini kerana beliau berharap agar dapat menyentuh jasadnya di tanah yang pernah dilalui oleh nabi s.a.w kerana teramat mengagungkan baginda nabi s.a.w. Seperti kata beliau: “
Aku malu pada Allah s.w.t untuk aku bercampur tanah yang pernah dilalui Rasulullah s.a.w dengan tapak lubang binatang tunggangan.”



Kesimpulan 

Untuk mengakhiri perbahasan tajuk ini, saya simpulkan pandangan saya seperti di bawah;

i. Berkata imam Nawawi:
“Seharusnya bagi mereka yang sampai kepadanya sesuatu dari amalan fadhail a’mal -yakni Sunnah Nabawiyyah- baik secara adat mahupun ibadat, hendaklah melakukannya walaupun sekali dan hendaklah dijadikan sunnah tersebut sebahagian daripada keluarganya. Dan jangan sesekali meninggalkannya secara mutlak, bahkan datangkannya seperti yang dijelaskan oleh baginda nabi s.a.w di dalam hadithnya (riwayat yang disepakati): “Jika aku menyuruh kamu dengan sesuatu perkara (sunnah), maka lakukanlah semampu kamu.”


ii. Berkata imam Nawawi lagi:
“Ulama daripada kalangan Muhaddith dan Fuqaha serta selain mereka berpendapat: Harus dan disunatkan beramal dengan amalan yang berstatus fadhail a’mal dan Targhib wa Tarhib (galakan dan intimidasi) – yakni setiap perkara baik kecuali berkaitan dengan soal aqidah dan hukum – beramal dengan hadith dai’f (lemah) selagi mana ia tidak Maudhu’ (tipu).”


iii. Ketika mana kita membincangkan persoalan amal ibadat yang baik bersertakan dalil, bermakna kita telah menggugurkan tanggapan-tanggapan seperti perkara-perkara bid’ah, kemungkaran, karutan, dongengan dan khurafat yang dituduh oleh sebahagian mereka yang jahil di dalam hal ini sebagai musuh dan dendaman dalam melaksanakan sunnah nabi s.a.w, bahkan mereka juga zalim dalam mengimbangi kesyumulan Islam. Maka, di sini kita menyebutkan kecerdikan orang ahli ilmu dan adab mereka, bukan menyebutkan tentang ahli orang yang jahil lagi khurafat. Meskipun mereka muncul di sana sini, terlalu ramai dan berbangga dengan dakwaan mereka. Maka yang halal itu jelas dan haram itu jelas.

Semoga Allah membantu kita. Wallahu A’lam.

Tamat.

Rujukan :

1. Usul al-Wusul Adillah Ahammi Ma’alim as-Sufiyyah al-Haqqah Min Sarih al-Kitab Wa Sahih as-Sunnah, Imam Said Muhammad Zaki Ibrahim, Juzu 1, Cetakan Kelima, T.T, Kaherah-Mesir.

2. Al-Ahkam As-Syari’yyah Li Qurra al-Quran al-Karim, Mahmud Ahmad Sai’d al-Atrash, Dar al-Iman-Iskandariah, T.T, Mesir.




Credit : Jomfaham
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit
Related Posts with Thumbnails