LARANGAN DAN BAHAYA HASAD DENGKI | Koleksi Ceramah Mp3 DLL LARANGAN DAN BAHAYA HASAD DENGKI -

LARANGAN DAN BAHAYA HASAD DENGKI



Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam kitab Riyadhus Salihin di dalam bab Haramnya Hasad menjelaskan pengertian hasad iaitu mengharapkan hilangnya nikmat dari seseorang sama ada nikmat agama atau dunia. Seseorang itu dikatakan hasad apabila dia melihat suatu kelebihan yang ada pada orang lain lalu dia merasa iri hati, dengki atau tidak senang dengan kelebihan yang ada pada orang itu.

Kadangkala hasad ada dalam diri tanpa kita sedar. Apabila kita tidak suka melihat nikmat pada seseorang, hakikatnya maksud di sebalik perasaan itu adalah kita mengharap agar nikmat itu hilang dari orang tersebut, dan inilah yang diertikan dengan hasad.

Buktinya kalau orang itu memiliki kelebihan harta, orang yang hasad merasa benci dengan kelebihannya itu. Apabila ditakdirkan orang kaya itu jatuh miskin, orang yang hasad menjadi gembira. Di sini kita dapat fahami bahawa dia berharap hilangnya nikmat dari orang tersebut.

Larangan hasad adalah umum. Baik hasad dalam urusan dunia mahupun agama, kedua-duanya dilarang dan kedua-duanya haram. Contoh hasad dari segi kelebihan agama misalnya dari segi ilmu agamanya, kelebihannya mampu mengajar, ramai murid, banyak menulis kitab, banyak beribadah, banyak bersedekah, rajin berpuasa, dikurniakan rezeki dari Allah untuk setiap tahun pergi umrah, haji, dan seumpamanya. Ini adalah kelebihan agama di mana orang yang hasad tidak suka melihat orang yang dikurniakan kelebihan ini.

Adapun kelebihan dunia, misalnya orang itu mempunyai banyak harta, rumah besar, kereta besar, kedudukan tinggi, bangsawan, VVIP, banyak kita lihat berlaku di mana sebahagian orang merasa tidak senang sehingga timbul persepsi negatif seperti mengatakan orang itu rasuah, kroni, melakukan penyelewengan dan sebagainya, seakan-akan tidak ada cara untuk menjadi kaya kecuali dengan cara tidak baik.

Hasad adalah suatu yang dilarang bahkan termasuk dalam dosa besar sehingga orang yang hasad wajib bertaubat daripadanya. Bahkan hasad termasuk sifat-sifat orang Yahudi. Seperti mana firman Allah,“Adakah mereka hasad (dengki) kepada manusia (yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad) lantaran kurniaan yang telah Allah berikan kepadanya.” (Al-Nisa: 54)


HASAD ADALAH SIFAT KAUM YAHUDI

Orang yahudi merasa hasad dengan risalah kerasulan yang diberikan kepada Muhammad SAW. Allah melantik Muhammad SAW sebagai utusan Allah dan ini adalah kelebihan agama yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad saw. Orang Yahudi merasa benci dan tidak redha dengannya.

Jika kita lihat sejarah, ketika Nabi sallallahu’alaihiwasallam berhijrah ke Madinah, ternyata terdapat orang yahudi yang menetap di sekitar Bandar Madinah ketika itu, iaitu tiga kabilah Yahudi; Bani Qainuqa’, bani Nadhir, Quraidzah. Ini adalah tiga kabilah yahudi yang berhijrah ke Madinah sedangkan asal mereka dari utara di Syam.
Sejarah menunjukkan mereka berhijrah ke Madinah lantaran apa yang mereka dapati dalam kitab Taurat mereka di mana disebutkan tanda-tanda akan datangnya Rasul akhir zaman dan Baginda akan datang di jazirah arab dan disebutkan ciri-ciri tempat Baginda akan datang. Jadi orang Yahudi sudah maklum akan datangnya rasul akhir zaman.

Para rasul sebelum Muhammad SAW semuanya datang dari kaum Bani Israil. Mereka semua datang dari keturunan Nabi Ibrahim alaihissalam. Juga disebut dalam Al-Quran bahawa Allah memilih Bani Israel daripada semua bangsa yang lain. Allah memilih Bani Israil sebagai kemuliaan buat mereka. Namun kita dapat melihat apa yang dilakukan oleh orang-orang yahudi atas kelebihan nikmat yang Allah beri kepada mereka (mereka melanggar perjanjian dengan Allah).

Maka mereka berhijrah ke Madinah untuk menanti datangnya Rasul akhir zaman. Dalam Al-Quran Allah berfirman, “Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil), mereka mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Sungguh sebahagian mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” (Al Baqarah: 146)

Kita semua kenal anak-anak kita, tidak mungkin kita tersilap. Begitulah Allah umpamakan orang-orang Yahudi; mereka tahu sifat-sifat Rasul akhir zaman. Tidak hairanlah bagaimana mereka menjumpai Madinah dan mereka tidak tersilap pergi ke tempat lain. Mereka tahu bahawa Nabi akhir zaman akan sampai ke sini.

Apabila Nabi Muhammad tiba ke Madinah, perkara pertama yang orang Yahudi lihat adalah Baginda bukan dari Bani Israel, bukan dari bangsa mereka. Ternyata kelebihan yang telah Allah berikan kepada Bani Israil, bahawa para Rasul semua datang dari bangsa mereka, membuat mereka takbur, ujub, dan mereka melihat diri mereka lebih tinggi dari orang lain. Mereka melihat mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah.

Jadi apabila Nabi Muhammad berbangsa Arab, mereka tidak menerima kerasulan Muhammad SAW kerana perbezaan bangsa, dan mereka mahu kelebihan risalah yang ada pada Muhammad dihilangkan daripada Baginda SAW. Maka hasilnya adalah hasad. Ini yang kita katakan bahawa hasad adalah sifat tercela yang sinonim dengan sifat orang Yahudi.
Allah berfirman, “Ramai daripada Ahli Kitab sangat mengharapkan kalau sekiranya mereka dapat mengembalikan orang-orang yang beriman kepada kekufuran kerana perasaan hasad yang ada pada diri mereka.” (Al-Baqarah: 109)

Kesimpulannya, permusuhan orang-orang kafir secara amnya dan orang-orang yahudi secara khasnya terhadap orang Islam adalah akibat perbezaan agama itu. Hal ini membuatkan mereka sedaya upaya ingin menyesatkan orang Islam.

Mereka ingin menyesatkan umat Islam bukan semestinya kerana mereka melihat agama mereka benar dan agama Islam itu sesat. Bahkan ada kemungkinan kerana hasad semata-mata. Mereka tidak redha kelebihan itu ada pada orang Islam maka mereka ingin keluarkan orang Islam dari agama ini dan mereka tidak peduli sama ada orang Islam yang murtad itu akhirnya masuk kristian, yahudi atau agama lain. Kerana tujuan mereka adalah ingin menghilangkan kelebihan yang ada pada orang Islam, yang penting adalah manusia meninggalkan Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.


AKIBAT HASAD

Orang yang hasad secara tidak langsung menolak takdir Allah SWT. Apabila orang itu benci apa yang ada pada orang lain, ini menunjukkan orang itu tidak menerima apa yang Allah takdirkan. Kerana apa juga yang berlaku dalam dunia ini adalah ketentuan Allah.

Sifat buruk orang hasad dapat diibaratkan sebagai bara api dalam jiwa yang memakan diri sendiri sedikit demi sedikit. Orang yang hasad terus merasa tidak senang dengan orang yang dia hasad itu dan terus mengawasi serta mencari-cari kesalahannya akibat perasaan tidak puas hati itu.

Hasil dari hasad tidak berhenti di situ, ia terus berkembang ibarat barah yang akhirnya menimbulkan sifat permusuhan, melampaui batas, dan menzalimi orang yang dia hasad, yang berakibat orang yang dizalimi itu akan berhak menuntut keadilan pada Hari Perhitungan kelak kerana dizalimi ketika di dunia.

Bermula dengan perasaan dalam hati, akhirnya dizahirkan dengan kata-kata atau perbuatan. Boleh jadi kata-kata itu benar dan boleh jadi dusta. Namun oleh kerana ia lahir dari sifat hasad, kata-katanya terhadap orang yang dia hasad itu menjadi buruk walaupun ia benar. Ini kerana ia dibina atas asas yang batil, maka kata dan tindakannya terhadap orang yang dia hasad itu tertolak dan dianggap buruk.

Orang yang hasad akan terus mendapat natijah yang buruk. Lebih buruk adalah sifat hasad yang ada padanya tidak akan mengubah takdir Allah. Akhirnya ia adalah sifat buruk yang membinasakan diri sendiri. Seperti mana diriwayatkan dalam hadis sahih di mana Nabi pada satu hari menunggang haiwan tunggangannya dengan Ibnu Abbas menunggang di belakangnya. Kesempatan itu diambil oleh Rasulullah SAW untuk memberi pesanan serta nasihat kepada anak muda yang bersamanya itu. Maka Baginda bersabda,

“Wahai anak muda, sesungguhnya aku akan mengajarmu beberapa kalimat: Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia bersamamu. Bila kau memohon maka mohonlah pada Allah dan bila kau meminta pertolongan maka mintalah kepada Allah.

 Ketahuilah sesungguhnya sekiranya seluruh manusia bersatu untuk memberimu manfaat, nescaya mereka tidak akan memberi manfaat apapun kepadamu selain yang ditakdirkan Allah untukmu. Dan sekiranya mereka bersatu untuk memudaratkanmu nescaya mereka tidak akan memudaratkanmu kecuali yang telah ditakdirkan Allah atasmu. Pena (yang menulis takdir) telah terangkat dan lembaran-lembaran (tempat menulis takdir) telah kering.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmizi)


CARA HINDARI HASAD

Maka kalau seseorang itu dapati dirinya ada hasad kepada orang lain, hendaklah dia bertakwa kepada Allah, kerana takwa adalah kunci segala kebaikan, sepertimana tidak ada takwa adalah sebab segala kejahatan. Dengan taqwa kepada Allah, orang itu mengingatkan dirinya dan melawan sifat hasad yang ada dalam hatinya itu.

Nasihat para ulama, apabila seseorang itu dapati dirinya ada perasaan hasad, ubatnya adalah hendaklah cepat-cepat beristighfar serta mendoakan keberkatan (kebaikan) buat saudaranya itu. Daripada berharap agar kebaikan itu hilang daripadanya, lebih baik mendoakan agar kebaikan itu kekal dan semoga Allah melimpahkan keberkatan atasnya. Hal ini tidak akan memudaratkan, sebaliknya ia memberi manfaat kepada kita di sisi Allah.

Juga, antara yang berupaya menyembuhkan penyakit hasad adalah meminta pertolongan daripada Allah, dan melakukan sebab-sebab untuk mendapatkan kurnia. Jika kita duduk tanpa berusaha dan dalam masa sama hasad dengan nikmat yang Allah beri kepada orang lain, dalam hal ini kitalah yang harus dipersalahkan kerana meninggalkan sebab-sebab untuk mendapatkan kurnia Allah. Seharusnya kita menyalahkan diri sendiri dari merasa hasad kepada orang yang Allah berikan kurniaNya.

Oleh itu, ulama mengatakan hasad boleh menjerumuskan pelakunya kepada kufur seperti mana ia menjerumuskan Iblis ke dalam dosa. Ia boleh menjerumuskan pelakunya kepada membunuh sepertimana ia menjerumuskan Qabil (anak Nabi Adam) untuk membunuh Habil, saudaranya. Sudah tentu Allah menurunkan kisah ini kepada kita supaya kita mengambil pelajaran daripadanya serta berwaspada terhadap penyakit hasad.
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 28.03.2014

Credit :ustazidrissulaiman
Share This Article Facebook +Google Twitter Digg Reddit
Related Posts with Thumbnails